Kanser usus biasanya terbentuk perlahan-lahan.

 

Kanser usus biasanya terbentuk perlahan-lahan.
Bukan seminggu. Bukan sebulan. Ada yang bermula sebagai polip kecil dalam usus, kemudian mengambil masa bertahun-tahun sebelum menjadi kanser dan sebelum gejala mula muncul.
.
Sebab itu jangan tunggu najis berdarah. Jangan tunggu berat badan turun. Jangan tunggu badan lemah, pucat atau sakit perut yang berulang.
Kalau anda berumur 50 hingga 75 tahun dan tiada gejala, anda boleh buat saringan kanser usus menggunakan iFOBT di Klinik Kesihatan.
Saringan ini disediakan secara percuma di klinik-klinik kesihatan untuk kumpulan sasaran yang tidak bergejala.
.
Macam mana nak buat?
Pergi ke Klinik Kesihatan berhampiran. Maklumkan kepada kaunter atau anggota kesihatan bahawa anda mahu buat “saringan kanser kolorektal” atau “ujian iFOBT”.
Biasanya anggota kesihatan akan tanya beberapa soalan terlebih dahulu. Umur anda, ada atau tiada gejala, sejarah keluarga kanser usus, sejarah polip, atau penyakit usus tertentu.
Ini penting kerana bukan semua orang sesuai terus buat iFOBT. Mereka yang ada gejala atau berisiko tinggi mungkin perlu dirujuk untuk pemeriksaan lanjut, bukan sekadar saringan najis.
Jika anda sesuai untuk saringan. Sampel najis kecil akan diambil mengikut arahan pada kit, kemudian dipulangkan semula ke klinik atau makmal seperti yang dimaklumkan.
iFOBT ialah ujian untuk mengesan darah tersembunyi dalam najis, iaitu darah yang tidak semestinya nampak dengan mata kasar.
Kalau keputusan positif, jangan panik dan jangan hilang. Positif iFOBT bukan semestinya kanser, tetapi ia bermaksud perlu pemeriksaan lanjut.
Klinik Kesihatan akan membantu mendapatkan temujanji rujukan ke Klinik Pakar Bedah atau Gastroenterologi untuk kolonoskopi. Kolonoskopi penting kerana doktor boleh melihat bahagian dalam usus dengan lebih jelas dan mengesan polip atau kanser awal.
.
Saringan bukan tanda kita takut.
Saringan ialah cara kita bertindak sebelum penyakit sempat menjadi besar.
Kanser usus kadang-kadang memberi peluang yang panjang untuk dikesan awal. Tapi peluang itu hanya berguna kalau kita datang periksa sebelum badan mula menjerit.

Sumber dari Public Health Malaysia

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Influenza

kanser hati

Otot Betis Dipanggil “Jantung Kedua” Manusia,