Kanser

 


Purata 110 orang dikesan menghidap kanser setiap hari.
Banyak kan?
Ya, jumlah yang sangat banyak. Jika kita darab dengan 365 hari dalam setahun, jadi lebih 40,000 orang dikesan kanser dalam setahun.
Itu baru jumlah pesakit yang dikesan kanser di hospital. Yang tak tahu dia ada kanser dan tak dapatkan rawatan? Allahu akbar.
Moga Allah pelihara kita semua.
.
.
Ada orang tanya,
"Ustaz, apa punca sekarang ni ramai betul orang kena kanser?"
Ustaz boleh jawab dari dua sudut.
Pertama, faktor yang positif.
Kedua, faktor yang negatif.
Jika kita lihat secara positif, punca ramai orang dikesan kanser adalah sebab teknologi dan perkhidmatan kesihatan dah capai tahap yang lebih baik.
Lebih banyak saringan dilakukan dan pesakit kanser pun dikesan lebih awal. Jadi rawatan kepada pesakit pun diberi lebih awal.
Alhamdulillah.
.
.
Bila kita lihat kepada faktor negatif pula, tak dapat dinafikan amalan pemakanan dan cara hidup masyarakat yang semakin teruk.
Dari aspek ini, ustaz bahagikan kepada empat perkara.
Pertama, pemakanan.
Apa yang kita makan hari ini, akan menentukan kesihatan kita pada masa akan datang.
Pemakanan yang tidak sihat merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada pelbagai penyakit termasuk kanser.
Terlalu banyak gula, minuman manis, makanan segera dan makanan yang diproses.
Sebab itu, kurangkan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula. Hentikan budaya makan makanan segera secara berlebihan.
Jaga pemakanan sebelum penyakit memaksa kita menjaganya.
.
.
Kedua, faktor persekitaran.
Kita hidup dalam persekitaran yang semakin mencabar.
Ada pencemaran udara, pencemaran daripada sisa industri, bahan kimia dan pelbagai bahan yang mungkin memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.
Selain itu, berhati-hati juga dengan bahan yang mempunyai bau yang kuat dan digunakan secara berterusan.
Sebagai contoh pewangi kereta. Mungkin pada awalnya kita rasa biasa sahaja. Tetapi apabila bahan itu terdedah kepada suhu panas dalam tempoh yang lama, kita tidak tahu apa kesan yang boleh berlaku kepada tubuh dalam jangka masa panjang.
Sebab itu, jangan terlalu memandang ringan perkara yang kita sedut setiap hari.
.
.
Ketiga, gaya hidup.
Ramai orang hari ini hidup dalam tekanan.
Tekanan kerja. Tekanan kewangan. Tekanan dalam rumah tangga. Tekanan kerana terlalu banyak melihat kehidupan orang lain.
Termasuk juga ibu-ibu yang sedang mengandung. Apabila emosi tidak terjaga dan tekanan berpanjangan, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan ibu dan perkembangan bayi dalam kandungan.
Apa punca besar tekanan hidup hari ini?
Ustaz lihat ada dua. Pertama, suka membanding. Kedua, suka bertanding.
Asyik melihat apa yang orang lain ada. Kemudian rasa perlu mengejar dan mengatasi mereka.
Akhirnya hidup hilang tenang. Cara hidup jadi lintang pukang, penyakit pun mudah datang bertandang.
.
.
Keempat, faktor genetik.
Ada penyakit yang mempunyai kaitan dengan sejarah keluarga.
Jika ada ibu, ayah, adik-beradik atau ahli keluarga yang pernah menghidap kanser, maka kita perlu lebih peka dan lebih berhati-hati.
Jangan tunggu ada simptom yang teruk baru hendak bertindak.
Buat pemeriksaan berkala. Dapatkan saringan awal. Ambil langkah pencegahan yang sewajarnya. Ingat, mencegah sentiasa lebih baik daripada merawat.
.
.
Tuan puan yang ustaz hormati.
Ustaz suka ulang sebut kata-kata salah seorang pejuang kanser, Nina Muies.
Apa kata Nina?
“Kanser ini bukan penyakit yang mudah. Bukan juga penyakit yang murah.”
Ustaz sangat setuju dengan kata-kata Nina.
Perjuangan melawan kanser ni bukan perkara yang mudah.
Macam pengalaman ustaz sendiri, walaupun doktor sahkan bebas dari kanser beberapa thun lepas, kesan dari rawatan kimoterapi dan radioterapi tu masih ada sampai sekarang.
Apa ustaz nak cakap kat sini, jagalah diri baik-baik. Jangan sampai terkena kanser.
Sebab bila seseorang itu disahkan menghidap kanser, yang sakit bukan dirinya seorang.
Suami turut rasa sakit.
Isteri turut rasa sakit.
Anak-anak turut rasa sakit.
Kadang-kadang seluruh keluarga terpaksa mengubah perjalanan hidup mereka kerana satu diagnosis yang tidak pernah dijangka.
Sebab itu, jangan tunggu sakit baru nak hargai nikmat sihat.
Jangan tunggu masuk wad baru nak jaga pemakanan.
Jangan tunggu doktor marah baru nak kurangkan gula.
Jangan tunggu badan bagi amaran baru nak ubah cara hidup.
.
.
Tuan puan yang ustaz hormati,
Ramai orang sanggup menyimpan wang untuk masa depan.
Tetapi tidak ramai yang sanggup melabur untuk kesihatan masa depan.
Sedangkan kesihatan itulah modal untuk kita bekerja, beribadah, membesarkan anak-anak dan berbakti kepada masyarakat.
Hari ini mungkin kita masih mampu berjalan, memandu, bekerja dan ketawa bersama keluarga. Tetapi semua itu adalah nikmat yang tidak dijamin kekal.
Sebab itu, bersyukurlah dengan cara menjaganya. Gunakan nikmat sihat dengan sebaik-baiknya sebelum Allah mengambilnya kembali.
.
.
Jom pujuk hati,
Nikmat sihat bukan sekadar nikmat untuk disyukuri dengan ucapan. Tetapi nikmat yang perlu disyukuri dengan tindakan.
Kurangkan apa yang memudaratkan tubuh. Pilih apa yang memberi manfaat kepada tubuh. Jaga diri sebelum sakit datang mengingatkan.
Moga Allah SWT memelihara kita semua, mengurniakan kesihatan yang berpanjangan dan menjauhkan kita daripada penyakit yang berat.
.
.
#UstazHanafiMalek

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Makan dan kanser

7 TABIAT YANG MENYUMBANG KEPADA MASALAH BUAH PINGGANG

Nasihat Kesihatan