Waspada Tuntutan "Ajaib" Terapi Hidrogen: Memahami Fakta dan Kajian Saintifik Sebenar


 Waspada Tuntutan "Ajaib" Terapi Hidrogen: Memahami Fakta dan Kajian Saintifik Sebenar

Dalam keghairahan mencari penyelesaian kesihatan alternatif, masyarakat kini sering dipujuk dengan pelbagai teknik jualan yang mempromosikan terapi molekul hidrogen (H_2). Artikel ini bukan menidakkan kepelbagaian kaedah untuk merawat, ilmu perubatan amat luas, namun ianya perlu berpijak atas paksi asas – Pembuktian keberkesanan dan stabil.
Walaupun penjual sering melabelkannya sebagai penawar ajaib untuk pelbagai masalah, dari kembung perut hingga mata kabur, adalah penting untuk kita meneliti apa sebenarnya yang ditemui oleh kajian saintifik di peringkat awal agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis pemasaran.
Berikut adalah pencerahan mengenai fakta dan keputusan kajian awal saintifik berbanding dakwaan pemasaran yang sering ditokok tambah:
1. Sedutan Gas Hidrogen (Hydrogen Inhalation)
Dakwaan Pemasaran: Boleh terus mencuci paru-paru, sesuai untuk pesakit Asma, menenangkan sistem saraf serta-merta, dan menghilangkan keradangan dalam badan.
Fakta Kajian: Kajian saintifik menyokong bahawa molekul H_2 adalah sangat kecil dan mempunyai sifat antioksidan serta antiradang. Ujian praklinikal (kebanyakannya ke atas haiwan makmal) dan beberapa ujian klinikal awal menunjukkan pendedahan kepada gas hidrogen berpotensi mengurangkan tekanan oksidatif dalam organ tertentu.
Apa Asas Doktor Perubatan Ambil: Keputusan kajian tidak menunjukkan kesan magik serta-merta seperti "menenangkan sistem saraf" atau menyembuhkan masalah paru-paru. Sensasi "nafas lega" ketika rawatan selalunya berpunca daripada pernafasan yang lebih teratur (deep breathing) ketika proses terapi dijalankan, bukannya kesan langsung gas itu sendiri. Ianya ibarat kesan plasebo dan psikologikal.
Punca dan mekanisme tepat dalam merawat penyakit dengan kaedah itu sudah tidak tepat.
2. Minum Air Kaya Hidrogen (Hydrogen-Rich Water)
Dakwaan Pemasaran: Sangat penting untuk merawat perut kembung, menyelesaikan masalah gula dalam darah, dan memberi tenaga luar biasa.
Apa Keputusan dari Kajian Saintifik: Terdapat kajian berskala kecil ke atas manusia yang menunjukkan hasil sokongan yang positif. Sebagai contoh, kajian awal terhadap atlet mendapati air hidrogen mungkin membantu mengurangkan pengumpulan asid laktik, yang menyokong pemulihan tenaga. Terdapat juga ujian klinikal kecil ke atas pesakit sindrom metabolik yang menunjukkan sedikit penambahbaikan dalam metabolisme lipid dan glukosa.
Kesimpulan Sains yang Doktor Pegang: Air hidrogen hanya bertindak sebagai suplemen sokongan, tetapi ia sama sekali bukan ubat untuk merawat kencing manis dan tiada bukti klinikal ia mampu menyembuhkan masalah kembung perut secara khusus. Jika ada pesakit kencing manis yang memberi testimoni bacaan gula itu turun, ianya secara kebetulan dan bersifat sementara. Ujian pemantauan berterusan wajib dilakukan seperti bacaan HbA1c.
3. Terapi Wap/Titik Hidrogen untuk Mata
Dakwaan Pemasaran: Menyembuhkan mata kabur, kering, dan berair akibat terlalu lama menghadap skrin komputer, serta membuatkan pandangan lebih terang.
Fakta dan Keputusan Kajian: Kajian perubatan mengenai kesan hidrogen pada mata masih di peringkat yang sangat awal (in vitro atau ujian makmal ke atas haiwan). Ujian ini mendapati persekitaran hidrogen mungkin dapat melindungi sel-sel retina daripada kerosakan akibat radikal bebas dan tekanan oksidatif.
Kesimpulan Kajian: Tiada bukti klinikal secara konklusif pada manusia yang menyokong bahawa ia boleh menerangkan semula mata yang kabur akibat keletihan skrin atau rabun. Untuk masalah mata kering akibat skrin (Sindrom Penglihatan Komputer), kaedah saintifik yang telah terbukti lebih berkesan adalah mengamalkan peraturan merehatkan mata dan menggunakan ubat titis air mata tiruan (artificial tears).
Nasihat saya kepada semua, jangan mudah terpengaruh dengan terma-terma komersial seperti "Terapi Canggih" atau janji bahawa kesihatan anda akan pulih sepenuhnya dengan menggabungkan terapi-terapi ini selalunya adalah strategi jualan semata-mata. Teknik sebegini direka untuk mencetuskan rasa terdesak agar pengguna segera mendaftar atau membeli pakej rawatan mereka.
Kajian saintifik terhadap terapi hidrogen sememangnya wujud dan menunjukkan potensi yang menarik. Walau bagaimanapun, sains perubatan memerlukan masa. Kajian-kajian ini masih di peringkat awal, pra matang dan memerlukan ujian klinikal berskala besar sebelum ia boleh diiktiraf sebagai rawatan perubatan standard.
Jangan mudah terpengaruh dengan testimoni yang keterlaluan. Sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan sebenar seperti diabetes, masalah pernafasan, atau penglihatan yang merosot, dapatkanlah diagnosis dan rawatan daripada doktor atau pakar perubatan yang bertauliah terlebih dahulu.
Sekian menasihati.
__________
Dr #Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
17/8/2026

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Makan dan kanser

7 TABIAT YANG MENYUMBANG KEPADA MASALAH BUAH PINGGANG

Nasihat Kesihatan